التخطي إلى المحتوى الرئيسي

Reds tagih visi Van Dijk - Kewell

Virgil van Dijk. - Foto Reuters

DOHA: Liverpool 'merindui' ketenangan tonggak pertahanan, Virgil van Dijk sekalipun merakam kemenangan 2-1 ke atas kelab Mexico, Monterrey di separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi.
Pandangan itu disuarakan oleh bekas pemain tengah Reds, Harry Kewell.
Pemain kebangsaan Belanda, Van Dijk terlepas pertembungan berkenaan susulan masalah kesihatan yang memaksa pengurus, Jurgen Klopp menyenaraikan kapten Jordan Henderson mengisi kekosongan di bahagian pertahanan tengah.
Ia berikutan pengganti kepada Van Djik, Dejan Lovren dan Joel Matip turut dipalit kecederaan.
Liverpool menyumbat gol kemenangan pada masa kecederaan babak kedua menerusi pemain gantian,  Roberto Firmino selepas jaringan pembukaan oleh Naby Keita disamakan Rogelio Funes Mori.
Justeru, Kewell percaya bekas pasukannya itu bergelut dengan ketiadaan Van Dijk.
"Apabila saya melihat permainan Liverpool, saya melihat Virgil sentiasa bercakap dengan sesiapa saja di sekelilingnya. Dia sentiasa berkomunikasi dengan pertahanan dan pemain di depannya," kata Kewell.
"Benar orang bercakap mengenainya sebagai pertahanan yang hebat kerana dia boleh bermain dari bahagian belakang dan selesa dengan bola, tetapi tugas utamanya adalah bertahan, dan untuk Van Dijk tugasnya adalah untuk menyusun keseluruhan pertahanan.
"Itulah yang Liverpool paling rasakan berikutan ketiadaannya menentang Monterrey. Tiada siapa yang mempunyai visi bertahan atau kebolehan untuk menghidu bahaya sepertinya."
Skuad kendalian Klopp akan bertemu juara Amerika Selatan, Flamengo Ahad ini yang mengulangi perlawanan final Piala Antara Benua 1981 yang dimenangi kelab Brazil itu 3-0 di Tokyo.
"Jelas mereka memerlukannya (Van Dijk) kembali bersama pasukan ketika bertemu Flamengo. Jika dia cergas, Liverpool akan tenang dan selesa di bahagian belakang dan semua orang akan lebih kurang tertekan."   - Reuters

تعليقات