
PEMAIN antarabangsa Jepun, Takumi Minamino mengikat kontrak bersama pemenang Liga Juara-Juara, Liverpool dengan bayaran dilaporkan £7.25 juta (RM39.29 juta) dari kelab Austria, Red Bull Salzburg, menurut pendahulu Liga Perdana itu hari ini.
Penyerang berusia 24 tahun itu yang menarik minat Liverpool ketika dua aksi Liga Juara-Juara peringkat kumpulan bersama kelab Austria itu dipercayai menandatangani kontrak empat setengah tahun.
“Kelab Bolasepak Liverpool mengesahkan perjanjian sudah dicapai dengan Red Bull Salzburg untuk perpindahan Takumi Minamino,” kata kelab itu dalam laman sesawang mereka.
Minamino yang menjaringkan gol ketika tewas 3-4 kepada Liverpool di Anfield pada Oktober lalu berkata perpindahan itu seperti mimpi menjadi nyata.
“Ia menjadi impian saya, impian menjadi pemain Liverpool,” katanya kepada Liverpool.com.
“Saya sangat gembira apabila detik itu menjadi kenyataan.
“Beraksi di Liga Perdana satu daripada sasaran saya. Ia liga utama di dunia. Saya pernah terfikir jika karier berkembang maju, suatu hari nanti saya mahu beraksi di Liga Perdana. Tetapi tak terlintas di fikiran saya dapat beraksi dalam pasukan ini dan saya sangat gembira.”
Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp berkata, Minamino seorang pemain bersemangat tinggi.
"Dia sangat pantas dan berani. Dia berani dengan bola dan juga tanpa bola.”
تعليقات
إرسال تعليق