
PERTAHANAN Liverpool, Andy Robertson memuji pencapaian istimewa kelabnya ketika menjulang Piala Dunia Kelab dan berkata tiga kejuaraan dalam kalendar tahun ini mendorong mereka untuk berasa dahagakan lebih banyak kejayaan pada 2020.
Juara Eropah, Liverpool mengatasi wakil Brazil, Flamengo 1-0 dalam masa tambahan pada awal pagi Ahad lalu, untuk meraih kejuaraan pertama mahkota Piala Dunia Kelab di Stadium Antarabangsa Khalifa di Doha.
Barisan kendalian Juergen Klopp turut memenangi trofi Piala Super UEFA tahun ini dan Robertson berharap rentak kemenangan itu dapat diteruskan pendahulu Liga Perdana Inggeris untuk merangkul lebih banyak gelaran.
“Tiga kejuaraan pada 2019. Dalam kalendar tahunan kami sudah memenangi Liga Juara-Juara, Piala Super dan sekarang ini (Piala Dunia Kelab). Untuk menang tiga kejuaraan dalam mana-mana kalendar tahunan adalah sangat istimewa - dan ini adalah antara terbesar,” kata pertahanan kiri Robertson kepada pemberita.

“Liga Juara-Juara sangat besar. Piala Super dan Piala Dunia Kelab juga pencapaian tinggi. Kami sangat gembira mengenainya tapi kami harus meneruskan rentak ini pada 2020.
“Saya harap akan ada beberapa lagi suasana seperti ini di mana kami menjulang trofi pada masa akan datang.. ia perasaan yang sangat menakjubkan untuk menang (Piala Dunia Kelab) dan ia membuatkan minggu ini cukup berbaloi.”
Liverpool di puncak liga di England dengan 49 mata daripada 17 perlawanan musim ini, 10 mata mengatasi pasukan di tempat kedua Leicester City - yang mempunyai kelebihan satu perlawanan - menjelang pertembungan mereka di Stadium King Power pada Khamis.
Kelab Merseyside itu memburu kejuaraan liga domestik pertama sejak 1990. Reds turut layak dalam 16 terakhir Liga Juara-Juara akan bertemu wakil Sepanyol, Atletico Madrid manakala perlawanan pusingan ketiga Piala FA seteru setempat Everton menanti mereka.
تعليقات
إرسال تعليق