
Pemain Liverpool, Adam Lallana (tengah) cuba dihalang pertahanan Monterrey, Stefan Medina pada perlawanan suku akhir Kelab Piala Dunia, semalam. - Foto AFP
DOHA: Pemain tengah Liverpool Adam Lallana berkata pemburuan trofi seperti satu ketagihan buat mereka yang ketika ini memburu gelaran Piala Dunia Kelab selepas menjuarai Liga Juara-Juara musim lalu.
Kelab Merseyside itu mengatasi Monterrey dari Mexico 2-1 pada aksi separuh akhir Rabu lalu, dan akan bertemu lawan dari Brazil, Flamengo pada final di Doha esok.
Liverpool layak ke saingan Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Tottenham Hotspur pada final Liga Juara-Juara Jun lalu.
“Ia seperti ketagihan: anda menang satu pingat dan anda mahu menang lagi. Anda mahu menang lebih banyak,” kata Lallana.
“Kami adalah juara Eropah dan mahu jadi juara kelab dunia juga. Tidak ramai yang boleh berkata demikian… satu lagi trofi di depan mata jadi kami sudah bersedia.”
Pertembungan di Stadium Antarabangsa Khalifa esok adalah ulangan Piala Intercontinental 1981 apabila Flamengo yang diperkuat Zico menundukkan Liverpool 3-0 di Tokyo.
Lallana, yang bermain 90 minit penuh menentang Monterrey, berkata pemain-pemain Brazil seperti Roberto Firmino dan Alisson Becker akan memberi tips berkenaan skuad Flamengo yang akan menentang mereka.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya pasti Bobby dan Alisson akan memberi maklumat berkenaan mereka.
“Kami lihat aksi mereka sebelum ini. Mereka dinamik, agresif, fizikal, dan kami perlu pantas mengawal keadaan,” katanya. – REUTERS
تعليقات
إرسال تعليق