التخطي إلى المحتوى الرئيسي

Liverpool 'ketagih' julang kejuaraan


PEMAIN tengah Liverpool Adam Lallana berkata pemburuan mereka untuk mendapatkan trofi bagaikan ‘satu ketagihan’ apabila kini memburu gelaran Piala Dunia Kelab selepas menjulang Liga Juara-Juara musim lalu.
Kelab Merseyside itu menewaskan Monterrey dari Mexico 2-1 pada aksi separuh awal pagi semalam, dan akan bertemu lawan dari Brazil, Flamengo pada final di Doha awal pagi Ahad.
Liverpool layak ke saingan Piala Dunia Kelab selepas menewaskan Tottenham Hotspur pada final Liga Juara-Juara Jun lalu.
“Ia bagaikan satu ketagihan: anda menang satu pingat dan anda mahu menang lagi. Anda mahu menang lebih banyak,” kata Lallana.
“Kami adalah juara Eropah dan mahu menjjadi juara kelab dunia juga. Tidak ramai yang boleh berkata demikian. Satu lagi trofi di depan mata jadi kami sudah bersedia.”
Pertembungan di Stadium Antarabangsa Khalifa awal pagi Ahad adalah ulangan Piala Intercontinental 1981 apabila Flamengo yang diperkuat Zico menundukkan Liverpool 3-0 di Tokyo.
Lallana, yang bermain 90 minit penuh menentang Monterrey, berkata pemain dari Brazil seperti Roberto Firmino dan Alisson Becker akan memberi tips berkenaan skuad Flamengo yang akan menentang mereka.
“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar. Saya pasti Bobby dan Alisson akan memberi maklumat berkenaan mereka.
“Kami lihat aksi mereka sebelum ini. Mereka dinamik, agresif, menampilkan permainan fizikal, dan kami perlu pantas mengawal keadaan,” katanya.

تعليقات