
Pemain Liverpool, Naby Keita (kanan) menewaskan penjaga gol Monterrey, Macelo Barovero (kiri) untuk gol pertama pasukannya pada perlawanan separuh akhir Piala Dunia Kelab, awal pagi tadi. - Foto AFP
DOHA: Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp teruja untuk mengharungi'perlawanan yang benar-benar sukar' di final Piala Dunia Kelab menentang Flamengo selepas jaringan lewat Roberto Firmino menghadiahkan kemenangan 2-1 buat juara Eropah itu ke atas kelab Mexico, Monterrey awal pagi tadi.
Firmino keluar daripada bangku simpanan untuk menyambut hantaran seorang lagi pemain gantian, Trent Alexander-Arnold pada minit ke-91 di Stadium Antarabangsa Khalifa yang menjadi gol kemenangan kelab Inggeris itu selepas kedudukan terikat 1-1.
Naby Keita meletakkan Liverpool mendahului pada minit ke-11 tetapi ia disamakan oleh Monterrey menerusi penyerang Argentina, Rogelio Funes Mori tiga minit berselang.
Selepas mengharungi jadual perlawanan padat di Liga Perdana sebelum ke Qatar, kemenangan ke atas Monterrey jelas melegakan dengan skuad kendalian Klopp kekal di landasan untuk menjulang trofi Piala Dunia Kelab buat kali pertama.
Begitupun, mereka perlu menewaskan juara Copa Libertadores, Flamengo yang memenangi gelaran Liga Brazil, bulan lalu di bawah kendalian pengendali dari Portugal, Jorge Jesus yang turut mendapat rehat lebih sehari selepas menewaskan kelab Arab Saudi, Al-Hilal 3-1, semalam.
"Perlawanan yang sukar, amat-amat sukar," kata Klopp ketika ditanya mengenai pertembungan dengan Flamengo yang akan mengulangi perlawanan Piala Antara Benua 1981 yang dimenangi kelab Brazil itu 3-0.

"Musim Flamengo sudah berakhir, mereka berada di sini dengan skuad yang penuh, tetapi kami harus pulih sepantas yang mungkin dan bersedia."
Pengendali dari Jerman itu turut berharap tonggak pertahanannya Virgil van Dijk akan kembali cergas selepas pemain Belanda itu tidak disenaraikan menentang Monterrey susulan masalah kesihatan dengan kapten, Jordan Henderson bergandingan dengan Joe Gomez bagi mengawal bahagian pertahanan.
"Ia keputusan yang mudah kerana dia tidak dapat berlatih semalam. Dia berada di atas padang selama beberapa minit sehingga media keluar dan kemudian malangnya, dia juga keluar," kata Klopp mengenai Van Dijk yang sudah bermain dalam semua perlawanan Liga Perdana dan Liga Juara-Juara musim ini.
"Kita akan lihat sepantas mana dia boleh pulih."
Selain itu, Klopp turut memilih untuk menyenaraikan Sadio Mane di bangku simpanan bersama Firmino dan Alexander-Arnold dan meletakkan Adam Lallana, Xherdan Shaqiri dan Divock Origi d alam kesebelasan utama.
"Ia mungkin jalan yang sukar," kata Klopp. "Kami berdepan masalah sebelum perlawanan, kami tahu yang kami akan berdepan masalah tetapi saya fikir apa yang dibuat oleh pemain menakjubkan." - AFP
تعليقات
إرسال تعليق